JAKARTA - Stadium Gelora Bung Karno kembali menanti kunjungan Harimau Muda.
Malam ini menjadi detik terakhir buat skuad bola sepak bawah 23 tahun
(B-23) negara itu berkunjung ke gelanggang keramat tersebut apabila
membuat perhitungan dengan Indonesia pada aksi final Sukan SEA 2011.
Atas kertas, kedua-dua pasukan sudah memiliki ramuan tersendiri untuk
bergelar 'sang juara' pada temasya Sukan SEA yang telah memasuki edisi
ke-26.
Bagaimanapun, barisan Harimau Muda tidak harus terpedaya dengan
provokasi daripada ribuan penyokong Sang Garuda Muda sepanjang
perlawanan berlangsung kerana dikhuatiri mampu menjerat mereka di
kandang lawan.
Kemenangan 1-0 yang dilakar ke atas Indonesia pada aksi terakhir
peringkat Kumpulan A sebelum ini juga tidak harus dijadikan sebagai
'modal' untuk mereka tampil mendabik dada.
Sebaliknya, anak-anak buah Ong Kim Swee itu seharusnya menganggap aksi
final malam ini sebagai medan pertarungan yang baharu bagi mereka.
"Lebih baik para pemain melupakan kemenangan ke atas Indonesia sebelum
ini. Saya tidak mahu mereka ghairah dan dibuai dengan kejayaan lalu.
"Aksi esok (malam ini) sudah pasti berbeza dengan aksi peringkat
kumpulan. Indonesia sudah pasti mahu membalas dendam," jelas Kim Swee
ketika ditemui pemberita di Hotel Sultan di sini semalam.
Menjelang aksi malam ini, Kim Swee menerima berita kurang menggembirakan
apabila lima tonggaknya - Izzaq Faris Ramlan, Syahrul Azwari Ibrahim,
Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Fandi Othman dan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria
- berada dalam senarai kecederaan.
Yang pasti, Kim Swee tidak dapat menurunkan tiga pemain iaitu Izzaq yang
mengalami kecederaan di bahagian lutut, Fandi dan Wan Zaharul Nizam
(hamstring).
Nasib Syahrul Azwari dan Irfan pula belum diputuskan lagi kerana mereka
masih berada dalam situasi keraguan, sama ada boleh diturunkan atau
sebaliknya.
Biarpun terpaksa menelan hakikat tidak dapat menurunkan beberapa tonggak
utamanya, Kim Swee mengakui, beliau sudah mempunyai gambaran
kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti.
"Saya masih mempunyai beberapa pemain simpanan yang mampu mengisi
kekosongan yang ditinggalkan pemain yang cedera. Beberapa pemain
simpanan merupakan pemain yang versatil yang boleh beraksi di sebelah
kiri dan kanan.
"Bagaimanapun, ini sahaja pemain yang saya ada selepas beberapa pemain
utama saya mengalami kecederaan dan tidak boleh beraksi," tambah Kim
Swee.
Dengan Izzaq, Fandi dan Wan Zaharul Nizam tidak dapat beraksi, Kim Swee
dijangka membuat sedikit rombakan dengan membariskan Yong Kuong Yong
mahupun A. Thamil Arasu yang mampu beraksi di posisi sayap kiri dan
kanan.
Mengenai kekuatan Indonesia yang sengaja menyimpan 'kuku' ketika aksi
terakhir peringkat kumpulan, Kim Swee berkata, benteng pertahanannya
yang diterajui Mahali Jasuli, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas dan
Mohd. Asraruddin Putra Omar berwaspada dengan tiga serangkai Indonesia,
Patrich Wanggai, Titus Bonai dan Octovianus Maniani.
"Sudah tentu saya harus tahu tentang kekuatan Indonesia. Tiga pemain
mereka, terutamanya di sebelah sayap kiri dan kanan (Octovianus dan
Titus) harus dikawal ketat.
"Bagi mengimbangi corak permainan lawan, saya harus mengambil risiko.
Sebelum ini, saya telah mengambil risiko, jadi saya akan mengambil
risiko terakhir.
"Paling mustahak, para pemain negara harus mengimbangi kekuatan
Indonesia dan saya harus mencari pemain yang boleh mengatasi kelajuan
kedua- dua pemain sayap Indonesia itu," katanya.
Sedar kilauan emas semakin hampir berada dalam dakapan, Kim Swee
menuntut komitmen dan semangat juang yang tinggi daripada anak-anak
buahnya sekalipun mereka dimamah rasa penat.
"Kita sudah mara ke final, sudah tentu kita mahu pertahankan pingat
emas. Ia merupakan emas yang cukup berharga jika kita dapat menewaskan
Indonesia di gelanggang sendiri," ujarnya.