1979
November: Syarikat Asian Rare Earth (ARE) dibentuk untuk mengekstrak
itrium ( sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit. Pemegang saham
utamanya ialah Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35 peratus), Beh
Minerals (35 peratus), Lembaga Urusan dan Tabung Haji (20 peratus) dan
beberapa peniaga bumiputera (10 peratus).
kampung baru bukit merahPihak ARE telah mendapatkan pandangan dari Pusat
Penyelidikan Atom Tun Dr Ismail (Puspati), Kementerian Sains, Teknologi
dan Alam Sekitar mengenai sisa buangan radioaktif yang dihasilkan
melalui pemerosesan monazit. Adalah diputuskan, sisa buangan itu yang
menjadi milik kerajaan Negeri Perak akan disimpan kerana berpotensi
sebagai sumber tenaga nuklear.
1982
Jun: Penduduk Parit, Perak mendapat tahu kerajaan telah memilih kawasan
seluas sembilan ekar, kira-kira 6 kilometer penempatan mereka untuk
dijadikan tapak penimbunan sisa radioaktif syarikat ARE.
30 Jun: Berikutan bantahan hebat daripada jawatankuasa penduduk serta
lain-lain pertubuhan politik dan sosial, kerajaan membatalkan cadangan
itu dan kemudian mula mencari tapak baru.
11 Julai: Kilang ARE mula beroperasi di KM 7.2, Jalan Lahat di Bukit Merah.
1983
November: Penduduk Papan (kira-kira 16 km dari Ipoh) mendapat tahu ARE
sedang mengorek lubang berhampiran tempat kediaman mereka untuk
dijadikan tapak buangan sisa radioaktif. Tapak itu merupakan pilihan
kerajaan
1984
24 Mei: Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan pekan-pekan yang berhampiran
menandatangani satu surat bantahan dan menghantarnya kepada Perdana
Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri Kesihatan serta Menteri Sains,
Teknologi dan Alam Sekitar.
31 Mei: Seramai 200 penduduk Papan membantah tapak pembuangan yang dicadangkan. Mereka menyekat jalan yang menuju ke tapak itu.
5 Jun: Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mengambil segala langkah
berjaga-jaga untuk memastikan keselamatannya dan menegaskan pembinaan
tapak buangan radioaktif di Papan akan diteruskan.
18 Jun: Kira-kira 300 penduduk Papan sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan sebagai membantah tapak buangan yang dicadangkan.
28 Jun: Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen
Yong berkata, tapak buangan Papan adalah selamat kerana dibina mengikut
piawaian yang ketat. Beliau mencabar pengkritik supaya membuktikan tapak
itu boleh mengancam kesihatan dan alam sekitar. Sementara itu, ARE
meneruskan operasinya dengan menimbun sisa torium di sebuah kawasan
terbuka dan kolam berhampiran kilang itu.
1 Julai: Kira-kira 3,000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak
mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai membantah tapak buangan
tersebut.
4 Julai: Seramai 2,000 orang penduduk terus mengadakan tunjuk perasaan
meskipun Ketua Polis Perak memberi arahan supaya bersurai.
18 Julai: Pembentukan Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah, terdiri
daripada penduduk Bukit Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah,
sebagai tanda sokongan kepada penduduk Papan.
Sahabat Alam Malaysia (SAM) menghantar satu memorandum kepada Perdana
Menteri memaklumkan paras radiasi yang tinggi telah dikesan dikawasan
kolam terbuka berhampiran kilang ARE di Bukit Merah.
Satu bacaan yang dicatat oleh pegawai-pegawai SAM sewaktu berkunjung ke
situ ialah 43,800 milirem/tahun. Paras ini melebihi 88 kali paras
maksimum yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa bagi Perlindungan
Radiologi (ICRP) untuk orang ramai.
29 Ogos: Michael O 'Riordan dari Lembaga Perlindungan Radiologi
Kebangsaan British dijemput oleh kerajaan untuk memeriksa tapak buangan
toksik di Papan.
19 September: Sekumpulan tiga orang dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa
(IAEA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengunjugi tapak buangan di
Papan atas jemputan kerajaan Malaysia. Mereka mengisytiharkan tapak
buangan itu tidak selamat.
5 Oktober: Dr William Cannell, seorang ahli fizik dan penganalisis
kesihatan menerima jemputan penduduk Papan untuk melawat tapak buangan
tersebut. Hasil pemerhatian beliau mendapati kerja-kerja kejuruteraan
yang dijalankan oleh syarikat terbabit sangat buruk.
21 Oktober: Seorang pakar dari Amerika dan bekas ahli jawatankuasa
Akademi Sains Kebangsaan Amerika bagi kesan-kesan Biologi Radiasi
Mengion (BEIR), Dr Edward Radford, atas jemputan penduduk Papan, membuat
tinjauan di tapak buangan sisa itu.
Beliau dapati tapak itu tidak sesuai sementara lubang-lubang yang digali mempunyai dinding yang nipis atau sudah merekah.
7 November: Seorang pakar buangan sisa industri dari Jepun, Dr Jun Ui,
menerima jemputan penduduk Papan untuk memeriksa tapak buangan ARE.
Beliau juga mendapati tapak itu tidak sesuai dijadikan kawasan
penimbunan sisa berbahaya.
28 November: Kabinet membincangkan laporan-laporan yang diserahkan oleh
dua badan kawalan. Laporan yang dikemukan oleh Lembaga Perlindungan
Radiologi Kebangsaan British (NRPB) berkata, penduduk hanya akan selamat
jika faktor-faktor tertentu diberi perhatian oleh kerajaan Perak dan
syarikat ARE. Laporan kedua oleh IAEA pula berkata, lubang-lubang yang
dibina tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
9 Disember: Lebih 1,500 penduduk di Papan mengadakan mogok lapar selama
sehari sebagai membantah keputusan kerajaan untuk meneruskan rancangan
menempatkan tapak buangan sisa di Papan.
Penduduk Bukit Merah membawa masuk seorang pakar radiasi dan genetik
dari Jepun, Profesor Sadao Ichikawa untuk mengukur paras radiasi di
kawasan terbuka dan kolam berhampiran kilang ARE. Beliau dapati paras
radiasi di situ terlalu tinggi malah paras tertinggi yang dicatatkan
melebihi 800 kali paras yang dibenarkan.
12 Disember: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam menunjukkan
minat secara peribadi terhadap perkembangan isu Papan ini. Beliau
mengunjungi tapak buangan tersebut.
1985
11 Januari: Selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan
Perdana Menteri ketika itu, Datuk Musa Hitam, kerajaan mengambil
keputusan memindahkan tapak buangan sisa ke Mukim Belanja di Banjaran
Kledang yang terletak kira-kira 5 km dari Papan dan 3 km dari Menglembu.
1 Februari: Lapan orang penduduk, bagi pihak diri mereka sendiri dan
penduduk Bukit Merah membuat satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh
menahan ARE daripada mengeluar, menyimpan atau menimbun sisa radioaktif
di sekitar kampung tersebut.
Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan. Ia memastikan
pengendali bahagian pemasangan nuklear (termasuk kerajaan)
bertanggungjawab terhadap ancaman nuklear.
Lima ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta
itu, dengan perwakilan dari Puspati, Kementerian Kesihatan serta
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
14 Oktober: Hakim Anuar Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh
memberikan kepada penduduk Bukit Merah perintah menahan dan menghentikan
ARE daripada mengeluar dan menimbun bahan sisa radioaktif sehingga
langkah-langkah keselamatan yang secukupnya diambil.
Lebih daripada 1,500 penduduk Bukit Merah hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan itu.
1986
22 September: ARE mendakwa ia telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk
meningkatkan langkah-langkah keselamatan (sepertimana yang dikehendaki
oleh perintah mahkamah), diikuti oleh piawaian IAEA.
Ia menjemput pakar tenaga atom dari Amerika, Dr E.E. Fowler (Bekas
kakitangan IAEA) untuk mengunjungi kilang berkenaan. Menurut beliau,
paras radiasi berhampiran kawasan pembuangan yang disediakan oleh ARE
memenuhi piawaian ICRP dan beliau dapati kilang itu selamat untuk
beroperasi.
5 Oktober: Kira-kira 3,000 penduduk Bukit Merah dan kawasan sekitarnya
mengadakan tunjuk perasaan terhadap rancangan ARE untuk menimbun sisa
radioaktif di tapak kekalnya di Banjaran Kledang.
28 Oktober: Profesor Sadao Ichikawa dalam kunjungan kali keduanya ke
Bukit Merah mendapati paras radiasi di sekitar kilang ARE masih melebihi
paras yang dibenarkan. Beliau dilarang masuk ke dalam kilang itu.
16 November: Sekumpulan penyiasat dari AELB memeriksa beberapa buah
tapak buangan sisa torium yang dilonggokkan secara haram di Bukit Merah.
Mereka dibantu oleh bekas kontraktor ARE, Ng Toong Foo yang pernah
membuang sisa di situ.
Bacaan di salah sebuah tapak ialah 0.05 – 0.10 milirem/jam (iaitu 438 -
876 milirem/tahun) melebihi paras keselamatan maksimum 0.057 milirem/jam
yang ditetapkan oleh ICRP.
26 November: Perwakilan dari tujuh kawasan (Bukit Merah, Lahat, Taman
Badri Shah, Menglembu, Papan, Falim dan Guntong) membentuk sebuah
jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC).
8 Disember: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Encik Kasitah Gadam
berkata hasil pemeriksaan AELB di dua tapak buangan haram Bukit Merah
mendapati paras radiasi di situ adalah selamat.
Menurutnya, sungguhpun AELB mendapati paras radiasi di situ melebihi
paras normal, ini tidak membahayakan kerana tapak-tapak itu sangat
sedikit bilangannya.
"TURN YOUR TRASH COMPUTER FOR CASH"