IPOH, 9 Julai (Bernama) -- Program motivasi anjuran ESQ Leadership
Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam
selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan, kata Mufti
Perak Tan Sri Harussani Zakaria.Beliau berkata program itu juga tidak ada kena mengena dengan fahaman
liberalisme dan pluralisme.
Menurutnya muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lepas
memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli
Sunnah Wal Jamaah."Muzakarah (Jawatankuasa) Fatwa Kebangsaan oleh mufti-mufti seluruh
Malaysia telah bersidang sebanyak tiga kali bagi membincang secara
terperinci program ESQ," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati
menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.Harussani berkata pengasas ESQ, warga Indonesia Ary Ginanjar Agustin
juga dipanggil menjelaskan beberapa perkara dan perkataan yang kurang
jelas dan menimbulkan kekeliruan berikutan buku ESQ yang ditulis dalam
Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia.
"Kita (Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan) berpuas hati dengan penjelasan
(beliau) bahawa (ESQ) tidak ada kena mengena langsung dengan fahaman
liberalisme dan pluralisme," katanya.Beliau berkata jawatankuasa itu turut menasihati ESQ supaya membentuk
panel syariah dan syarikat itu melantik beberapa bekas mufti sebagai
anggota panel itu.
ESQ menubuhkan panel syariah dan akidah yang diketuai bekas Ketua
Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mustafa Abdul
Rahman untuk memantau, menasihat dan menambah baik modul latihannya.
Harussani juga berkata beberapa mufti turut berjumpa dengan beberapa
ulama Indonesia untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai program itu
selain Majlis Ulama indonesia sendiri memperakui program itu baik.
"Modul program (ESQ) baik dalam menyedarkan peserta kepada ketuhanan,
Islam dan peradaban," katanya.
Program itu telah disertai 65,000 orang termasuk orang kenamaan,
korporat, pegawai kerajaan serta tokoh-tokoh agama termasuk beberapa
orang Mufti.
"TURN YOUR TRASH COMPUTER FOR CASH"